Ya Allah makcik bawang, kepala aku dah cukup serabut fikir keadaan ibu aku, korang masih mengata aku

Aku berasal dari keluarga yang sederhana. Walaupun tak kaya tapi rezeki sentiasa cukup. Lahir dalam keluarga yang kecil. Mempunyai seorang kakak dan ayah aku meningggal ketika umur aku 9 tahun. Tekanan aku bermula semenjak ibu aku sakiit. Ibu aku sakiit dan tidak boleh berjalan selama 2 tahun lebih.

Ketika itu aku masih dalam tahun akhir pengajian aku. Jadi aku memang kerap ponteng jaga ibu aku dihospital. Tamat sahaja belajar aku tak dapat terus kerja sebab jaga ibu aku. Dari ibu aku dihospital mak cik-mak cik jiran semua dah sibuk tanya “tak cari kerja lagi ke? Cari kerja cepat-cepat”. Sedangkan waktu tu aku masih lagi dalam latihan industri.

Keadaan ibu aku masa tu masih lagi kritiikal. Dalam hati aku “ Ya Allah, mak cik kepala aku dah cukup serabut fikir keadaan ibu aku ”. Bertambah lagi dugaan. Ade orang keluarkan semua duit bank ibu aku, barang kemas ibu aku semua hilang. Sikit pun tak tinggal. Yang paling sakiit orang tu ialah orang yang kami percaya.

Tamat sahaja belajar sebagai anak perempuan bongsu akulah yang kene bertanggungjawab jaga ibu aku. Pertama kali jaga orang sakit agak kelam kabut untuk aku. Selalunya pukul 5 aku dah bangun bersihkan pampers, alas katil ibu aku dan bawak ibu aku ke tandas semua nak siap-siap solat subuh. Lepas subuh siapkan ubat dan sarapan. Lepas tu dressing luka operation dan uruskan hal-hal rumah. Disebabkan ibu aku ada darah beku memang kerapla ke hospital. Kadang-kadang sampai seminggu sekali.

Dengan keadaan aku tak bekerja aku sering dipandang sinis oleh jiran-jiran dan sedara-mara. Kalau sepuluh orang aku jumpa sepuluh oranglah aku cakap benda yang sama.

“Tak cari kerja lagi ke?”.”Memang taknak kerja ke?”.“Mak tu gajikan orang jer jaga. Sampai bila?” Senangnya semua orang cakap. Aku kalau banyak duit mungkin aku boleh buat macam tu. Aku cuba kuatkan hati aku takpela mungkin nilah peluang aku jaga ibu aku. kakak aku lebih pentingkan diri sendiri.

Habis ijazah terus sambung master sepenuh masa. Dalam buat master kakak aku cakap nak kahwin. Dan dia dah kahwin pun sekarang. Lagilah orang mengata. Ibu sakit tapi anak tak bekerja. Walau macam mana pun kami tak meminta-minta pada orang. Bertahun berlalu, aku cari kerja dekat-dekat dengan rumah di kedai runcit dan waktu bekerja tu membolehkan aku masak dan uruskan hal rumah.

Tapi aku dengan kerja macam tu membuatkan orang pandang rendah. Di tambah pula, aku mula hilang keyakinan diri. Aku ada ijazah tapi aku tak bekerja sebagus kawan aku yang lain. Umur makin meningkat, kerjaya tiada. Siapalah nak orang macam aku? Aku bertunang tahun ni dijalankan oleh keluarga.

Bertapa gembiranya ibuku. Tapi kegembiraan tu cuma sekejap dalam sebulan lebih macam tu laki tu minta putus dengan alasan tiada keserasian. Sedangkan dia sendiri yang suruh keluarga dia datang pinang sebab yakin dah buat solat istikhrah katanya. Ayat memang manis dan menyakinkan.

Last2, dia jugakla yang suruh keluarga dia datang minta putus. Aku tak sedih sangatla sebab aku tak ada perasaan kat laki tu. Yerla tak kenalkan. Tapi cara dia tu seolah-olah mempermainkan perasaan dan harapan orang lain. Ibu aku sampai tak selera makan, tak ada semangat nak buat apa2. Berbulan-bulan jugakla.

Rasa terhina ditolak mentah2 macam tu. Macam aku ni takda maruah. Malu jugakla orang ramai yang bertanya. Ada yang fikir aku ni perempuan yang bermasalah sebab tu laki tu tak sempat apa cepat sangat minta putus. Kalau boleh putarkan balik masa aku tak sepatutnya terima.

Aku rasa hidup aku ni tak ada makna. Semua aku buat tak menjadi seperti yang aku harap kan. Umur macam aku ni. Kawan dah berjaya, dah kahwin, dah ada anak. Sentiasa rasa takut. Takut kehilangan ibu aku. Sekarang ni aku seolah-olah duduk dalam satu kotak gelap yang aku tak nampak sikit pun cahaya. Sampai satu tahap aku rasa lebih baik matii.

Aku tahu berdosa fikir macam tu tapi itulah yang aku rasa. Aku rasa jiwa aku dah matii. Aku takut jumpa orang. Aku dah hilang keyakinan diri. Pandang muka orang pun aku tak mampu. Aku jadi terlalu sensitif dan emosi aku mula terganggu. Aku jadi susah nak tidur memikirkan macam mana hari esok.

Selagi ibu aku hidup aku mungkin boleh bertahan tapi aku tak pasti sama ada aku boleh bertahan selepas tu. Pada sesiapa yang sudi membaca kisah aku ni. Aku cuma minta doakan ibu aku sihat dan panjang umur. Doakan aku kuat dan bertambah baik. Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *