Budak lelaki yang tersesat dan terus terpisah dari asal usul. 25 tahun kemudian, dia menggunakan Google Earth dan menemui ibu kandungnya kembali

Pada tahun 1986, Saroo baru berusia 5 tahun dan belum bersekolah, telah keluar bersiar-siar bersama abangnya dari perkampungan mereka yang miskin di India.

Secara tidak sengaja, Saroo telah menaiki sebuah kereta api dan terpisah daripada tangan abangnya. Bermula dari saat itu, anak kecil yang naif ini telah melalui perjalanan hidup yang tidak pernah diimpikannya.

Pada hari yang telah ditakdirkan itu, Saroo telah terpisah daripada pandangan abangnya ketika mereka berada di stesen kereta api Burhanpur di India.

Saroo memberitahu BBC, “Waktu itu hari sudah lewat malam. Kami turun dari kereta api, dan saya berasa terlalu letih. Saya terus duduk di satu tempat duduk kosong di dalam kereta api, dan akhirnya berasa mengantuk lalu terus tertidur.”

Bermula saat itu, Saroo melalui perjalanan kereta api secara bersendirian dan mengembara sejauh beratus batu sehingga tiba di Kolkatta.

Saroo mengingati saat itu berkata, “Saya fikir abang saya akan kembali dan membangunkan saya tetapi apabila bangkit dari tidur, abang saya tidak dapat ditemui. Saya melihat sebuah kereta api di hadapan dan berfikir abang saya mesti berada di dalam kereta api itu.

Jadi saya telah membuat keputusan dan berlari ke arah kereta api itu dengan harapan saya akan dapat menemui abang saya di dalammya.”

Saroo ingin kembali ke kampung halaman yang sudah ditinggalkan sejauh beratus batu sebaik sahaja dia tiba di Kolkatta. Oleh kerana dia tidak memahami dialek Benggali dan tidak mengetahui nama kampungnya, kanak-kanak ini telah tersesat dan tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan.

Menurut Saroo, “Tiba-tiba saya berada di dalam ketakutan. Saya tidak tahu di mana saya berada. Saya hanya mampu mencuba untuk mencari rumah saya dengan bertanya kepada beberapa orang yang tidak saya kenali.”

Dalam pencarian kampung halamannya itu, Saroo menjadi kanak-kanak hilang yang kemudian menjadi gelandangan dan terus bertahan dengan memakan sisa makanan.

Tidak lama selepas itu, Saroo telah dibawa oleh pihak berkuasa dan ditempatkan di rumah anak yatim. Saroo telah diambil sebagai anak angkat oleh pasangan suami isteri Sue dan John Brierley dari Australia.

Selepas diambil sebagai anak angkat, Saroo telah dibawa tinggal bersama ibu bapa baru di Tasmania, Australia yang terletak beribu batu jauhnya dari India. Kata Saroo, “Saya telah dapat menerima hakikat yang saya adalah budak yang hilang dan tidak lagi dapat menemui kampung halaman.

Jadi saya fikir adalah lebih baik bagi saya untuk mendapatkan kehidupan sempurna di Australia.” 25 tahun kemudian, Saroo menjadi seorang dewasa yang dibesarkan dengan baik oleh ibu bapa angkatnya dengan budaya dan cara hidup warga Australia.

Namun, Saroo tidak pernah melupakan kampung halamannya di India. Saroo bertekad untuk mencari asal-usul dan kampung halamannya di India. Pada satu hari, Saroo telah mendapat idea iaitu dengan menggunakan sumber teknologi terkini.

Dengan menggunakan aplikasi Google Earth, Saroo telah menggunakan segala kudrat, pengetahuan dan kepakarannya dalam menjejaki kampung halamannya di India bermula dengan lokasi di mana dia telah terpisah dari pandangan abangnya.

Namun begitu, proses pencarian dan menjejaki kampung yang berada di pedalaman itu bukan satu perkara yang mudah. Katanya, “Saya bukan Superman yang boleh terus ke sana apabila telah melihat lokasinya.

Saya perlu merakamkan gambar lokasi dan mengira jarak serta memadankannya. Kemudian, saya rasa ia tidak tepat, dan terus mencarinya lagi dan lagi.”

Tambah Saroo, “Saya mengira waktu ketika saya berada di dalam kereta api, lebih kurang 14 jam, dengan kelajuan kereta api di India. Saya telah mengira dan membuat kiraan kasar akan jarak perjalanan itu sejauh 1,200 kilometer.

Kemudian saya telah menemuinya. Saya mendekatkan zum lokasi dan ketika itu kampung halaman saya telah dapat dijejaki. Saya memandu arahnya dari lokasi air terjun yang sering menjadi tempat permainan saya di waktu kecil.”

Tidak lama selepas itu, Saroo menemui Khandwa, nama kampung halaman yang tidak diketahui namanya semasa dia masih kecil dan telah tersesat. Saroo telah terbang ke India dan melawat Khandwa pada bulan Februari, 2012 di mana dia telah menemui semula ibu kandung yang sentiasa dirindui bernama Fatima Munshi.

Saroo berkata, “Apabila ibu melihat saya selepas kami terpisah selama 25 tahun, dia masih mengingati wajah saya yang dikatanya masih sama ketika saya masih kecil.”

Menurut Saroo, “Menjadi ibu penyayang sepertinya sudah pasti tidak melupakan wajah anak-anak ketika mereka masih kecil. Ibu terus mengenali wajah saya sebaik melihatnya, dan saya masih ingat dengan jelas wajah ibu kandung yang sentiasa dirindui.

Memori pada raut wajahnya sentiasa terpaut di ingatan saya sehingga hari ini.. Selepas berpuluh tahun menjadi keliru dan sentiasa bertanya kepada diri sendiri lalu meneruskan pencarian itu, Saroo akhirnya telah dapat menemui semula kampung halaman, keluarga kandung dan asal usulnya.

Saroo berasa amat bersyukur kerana akhirnya dia dapat bersama semula dengan keluarga kandung. Walaupun Saroo menetap di Australia dan mempunyai kehidupannya di sana, dia sentiasa berhubung dengan ibunya, Fatima dan menyara kehidupannya di India.

Menurut Saroo, “Kini saya berasa amat lega kerana beban yang berat itu telah dapat dileraikan. Dan tidur saya kini menjadi lebih lena.”

Kisah benar Saroo telah ditulis dalam buku autobiografinya, “A Long Way Home” di mana telah menjadi filem adaptasi bertajuk ‘Lion’ lakonan Nicole Kidman dan Dev Patel. Sumber : era bRu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *