Ini Kenyataan Lelaki Yang Pernah Dijaga Bunian Dulu Di Broga Hill Setelah Naik Ke Bukit Batu Putih Bersama Bomba Dalam Misi Mencari Acap.

Peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, hilang sejak 23 Mac lepas masih belum ditemui.

Gopeng – Seorang pemuda yang pernah ‘dijaga bunian’ sepanjang tujuh hari hilang di Bukit Broga, dua tahun lalu, turut membantu pihak penyelamat mencari peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan, semalam.

Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, 22, mendaki Bukit Batu Putih bersama bomba bagi meninjau lokasi terakhir Mohammad Ashraf, 29, yang dikenali sebagai Acap sebagai salah satu ikhtiar untuk mengesan mangsa.

Menurutnya, kehilangan Acap menarik perhatiannya untuk turut membantu buat pertama kali selepas insidennya berkaitan dengan mistik mendapat liputan meluas di media sosial.

“Saya dan ibu, Rohana Saad, 51, sudah lama merancang untuk turun ke Gopeng membantu berdasarkan pengalaman dan baru hari ini (semalam) saya berkesempatan untuk datang.

“Apa yang boleh dikatakan bukan depa (bunian) yang ambik dia (Acap), malah saya dan ibu tidak merasai kehadiran dia (Acap) di bukit itu dan di Gua Kandu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang, di sini.

Mohd Azarul Mukhriz berkata, dia mengharapkan agar keluarga Acap dapat mengharungi dugaan itu dengan lebih mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Mohd Azarul Mukhriz bersama ibunya, turut membantu dengan menaiki Bukit Batu Putih, Gopeng, semalam dalam usaha mengesan Acap yang hilang sejak 20 hari lalu.

Sementara itu, Rohana berkata, doa ibu adalah yang terbaik dalam membantu memudahkan operasi mencari anaknya meskipun kehilangannya sudah memasuki hari ke-20.

“Dugaan ibunya kali ini adalah yang terhebat berbanding saya. Saya lihat pelbagai ikhtiar telah dijalankan dan diharapkan keluarga mereka sentiasa berdoa dan membaca al-Quran agar Acap segera ditemui,” katanya. Sumber sinar Juga Kelihatan ada artis turun membantu cari acap syabas

Pencarian Acap: Polis terima 4 laporan berita palsu

GOPENG – Polis menerima empat laporan berkaitan penularan berita palsu melalui media sosial berkaitan kejadian seorang peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan, 29, sejak 23 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, empat laporan tersebut diterima pihaknya daripada empat individu berbeza sejak 4 April hingga semalam.

“Sehingga semalam, kita menerima empat laporan berita palsu melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial Facebook berkaitan kejadian kehilangan Mohammad Ashraf yang hilang ketika menyertai larian GUT 2019 kategori 25 Kilometer pada 23 Mac lalu.

“Antara berita palsu tersebut ialah mengenai penemuan mangsa oleh pasukan yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp dan dimuat naik melalui akaun Facebook Putra Al Mukmin,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Tambah Hasron Nazri, polis turut menerima laporan mengenai penemuan mangsa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama Ustaz, namun turut menyatakan mangsa tidak mahu kembali kerana telah berkahwin dengan jin yang dimuat naik melalui akaun Facebook Muahsetapak.com.

“Selain itu, satu laporan lagi mengenai rakaman suara yang dimuat naik di Facebook milik Hafiz Amir yang menyatakan mangsa disorok penduduk kampung.

“Laporan keempat pula berkaitan satu status yang dimuat naik melalui Facebook atas nama Muhmmad Mamzah (Brado Kapak) yang menyatakan pihak penganjur GUT 2019 bersikap lepas tangan dalam pencarian mangsa,” katanya.

Jelasnya, pihak polis merujuk tiga laporan awal tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk siasatan lanjut manakala laporan keempat diklasifikasikan sebagai tiada kesalahan jenayah.

“Polis menegaskan siasatan akan dibuat berlandaskan fakta dan bukti dan mengingatkan orang ramaia agar tidak menularkan sebarang maklumat atau berita melalui media sosial berdasarkan persepsi sendiri sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat maklumat berkenaan,” katanya. – K! Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *