Tekann suami jd surirumah, nafkah xdpt. Terkjut, berulang kali dpt petunjuk ini dari AlQuran

Aku nak kongsi kisah keluarga aku. Suami aku seorang house husband. Aku tak pasti penerimaan di negara ini bagaimana, tapi kalau aku browse di luar negara, contohnya di US, UK atau Kanada, ia bukanlah sesuatu perkara yang pelik atau jelik.

Suami menguruskan rumah tangga, isteri bekerja kerana selalunya faktor isteri bergaji lebih besar menyebabkan lebih baik secara ekonomi jika suami yang berhenti kerja.

Di Malaysia mungkin berbeza. Sebab agama kita pun memang menggariskan tanggungjawab seorang suami sebagai provider, wajib menyediakan nafkah zahir dan batin buat isteri dan keluarga. Aku akur. Tapi situasi keluarga kecil aku tak begitu.

Semua bermula lebih kurang 5 tahun lepas, bila suami aku jatuh sakit. Sebelum itu dia punya bisnes sendiri, dan kami sama-sama menyumbang pada ekonomi keluarga. Aku penjawat awam. Untuk hutang yang besar-besar , aku beli dan bayar duit rumah, manakala dia bayar duit kereta dan bil-bil lain.

Sakit yang pelik. Berjumpa doktor, buat checked up, tiada masalah. Tapi keadaan makin lama makin teruk. Kurus kering jadinya. Selepas berkali-kali berjumpa doktor tapi tiada perubahan dan penyelesaian, kami beralih ke perubatan islam.

Ustaz kata dia disantau, berdasarkan beberapa tanda. Padanlah setiap kali aku mengaji Quran disisi dia, suamiku marah. Dia suruh aku mengaji jauh-jauh. Katanya setiap sendi dia sakit. Bila aku pasang ayat-ayat ruqyah, memang dia marah-marah.

Dia pernah meng@muk, dibalingnya side table sebab aku sibuk kejut dia nak suruh makan. Bersepai. Alhamdulillah. Diketemukan penawar setelah beberapa kali rawatan. Dalam tempoh tu memang dia tak boleh buat kerja. Semua di atas bahu aku, memang aku terasa terbeban sangat. Tapi sabar sajalah, aku sedar itu ujian buat kami sekeluarga.

Dalam proses penyembuhan, bisnes memang boleh dikatakan dah lingkup. Hutang piutang pada pembekal, dan sebagainya memang aku settlekan. Aku sacrifice dengan ambik sejumlah pinjaman peribadi. Agak besar. Memang mencatu kami hidup masa tu.

Aku stopkan semua insuran, insuran pendidikan anak-anak aku, medical card, semata-mata untuk kami boleh survive dari hari gaji ke hari gaji berikutnya. Memang perit tapi Alhamdulillah, Allah bantu dengan mencukupkan rezeki pada kami tanpa perlu meminta-minta pada orang lain.

Aku juga keguguran dalam tempoh tu. Aku redha, sebab aku yakin Allah tahu aku tak mampu. Bermula dari episod itulah, suami aku bila dia sembuh, kami berbincang panjang lebar. Kalau dia nak bina semula bisnesnya akan ambil masa juga untuk Nampak hasil. Aku rasa tak terdaya nak tanggung belanja keluarga masa tu.

Jadi dia decide untuk stay at home and manage the domestic operation at home. Kami dah jimat kos penjagaan anak-anak. Suami aku setuju untuk ambil tanggungjawab urus anak-anak, urus kain baju, urus makan, urus rumah.. Sambil-sambil tu dia cuba untuk mula semula bisnesnya dari rumah secara kecil-kecilan. Aku pulak jadi breadwinner untuk keluarga.

Pada mulanya, walaupun keputusan ni disepakati oleh kami berdua, aku jadi agak kekok dan tak boleh nak terima keadaan itu. Kadang-kadang bila rasa tertekan, aku mulalah nak jadi seorang yang bitter. Merengus tak tentu pasal, mudah nak naik angin.

Terasa benar bila suami tak mampu nak bagi nafkah, terasa benar bila hari-hari istimewa dia tak mampu nak bagi hadiah macam sebelum-sebelum ni. Bila dapat gaji, tengok payslip bahagian potongan, aku macam gunung berapi tunggu lahar nak meletus.

Ada waktu, aku lari, keluar rumah. Tak ke mana pun, dua tempat ja aku tuju. Aku ke library, membaca untuk tenangkan perasaan atau aku ke masjid, solat dan mengaji Quran sampai sejuk hati aku.

Dalam aku cari ketenangan di 2 tempat tu, dua peristiwa yang berlaku yang membuatkan aku boleh redha dengan keadaan aku…. Satu artikel dalam majalah Anis, tentang suami yang tak mampu bagi nafkah atau yang berat rezekinya. Sentap, masuk terus dalam hati. Air mata aku menitik.

As if memang ditujukan untuk aku. Buat aku sedar, rezeki tu dari Allah, aku hanya saluran untuk keluarga aku. Bukan siapa-siapa pun aku… hanya asbab untuk punca rezeki keluarga aku. Aku snap artikel tu. Aku baca berulang kali bila aku down.

Peristiwa yang kedua, aku tengah dalam keadaan berduka… waktu zohor tu, seusai solat, aku mohon sungguh- sungguh pada Allah, beri aku petunjuk, agar hati aku lapang. Aku capai Quran, randomly buka, terbuka mukasurat 403, mata aku terus tangkap ayat 60 dan 62, surah al Ankabut. Aku baca ayat, aku baca makna, aku nangis.

Waktu asar, aku berdoa yang sama, mohon petunjuk agar hati aku lapang. Sama jugak, aku capai Quran dan buka secara random, Allah jawab lagi, dengan perkara yang sama. Muka surat 403 juga, ayat 60 dan 62 juga. Aku memang terkejut, sebab aku tak tanda langsung muka surat tu masa zohor tadi. Kali ni aku baca dengan tangisan yang teresak-esak. Aku rasa beban dalam dada aku bagai diangkat.

Lepas tu aku faham, aku perlu ikhlas dan redha. InsyaAllah, Allah gantikan dengan tenang yang aku cari selama ni.

Aku cari kebaikan dan aku jumpa banyak kebaikan dalam suami aku. Kurang dia cuma satu, tapi kalau aku fokus pada yang kurang memang aku takkan gembira. Aku nampak betapa dia melapangkan banyak kerja aku. Dia dapat bagi perhatian pada anak-anak kami, lebih dari yang mampu aku bagi.

Anak-anak kami ada di sekolah menengah dan rendah. Waktu balik memang tak sama, tapi tak ada masalah sebab suami aku ada. Mesyuarat pibg, acara sekolah dengan ibu bapa, semua suami aku yang hadir, sebab tempat kerja aku agak jauh. Aktiviti anak-anak suami aku join. Malah ada satu tahun tu, dia dapat anugerah sarana ibu bapa terbaik sebab dia sukarela jadi coach untuk team bola sekolah anak aku.

Homework anak-anak dia pantau, phone anak-anak pun dia selalu pantau. Anak-anak dengan abah dah jadi kawan, sebab anak-anak kami dah masuk alam remaja. Masa aku dengar bacaan Quran anak-anak aku, suami aku akan tengok homework anak-anak bergilir-gilir.

Ya, kami ajar sendiri anak-anak mengaji Quran dari kecil. Sebab anak-anak aku tak masuk asrama bila masuk sekolah menengah, aku minta mereka tasmik depan aku hampir setiap hari. Tak banyak, semuka ja sekali baca.

Kerja rumah, dia settlekan. Aku masak bila aku cuti. Kain baju dia basuh dan sidai. Aku cuma lipat. Macam-macam lagilah yang dia selesaikan. Bila aku tak ambil mudah semua tu atau take for granted, aku bersyukur banyak-banyak. Hormat aku pada dia sebagai suami tetap tinggi, walaupun peranan kami bertukar, tapi darjat dia tetap suami aku. Aku berdoa agar hati kami terus ikhlas dan redha.

Rezeki Allah bagi, hujung tahun ni kami bakal terima baby baru. Suami aku dah siap-siap kata, jangan risau, dia akan jaga aku dalam pantang dan dia akan jaga anak kami selepas aku habis maternity leave. Allahuakbar. Menitik lagi air mata aku.

Memanglah dari segi ekonomi kami agak kurang. Aku kena arrange dan atur betul-betul duit gaji aku… Tapi Allah kata, kalau hambaNya bersyukur, Dia akan tambah lagi. Aku yakin sangat sebab Dia sentiasa cukupkan walaupun pada perkiraan aku, kadang-kadang memang tak cukup.

Kerja-kerja dia memang lah dia buat secara kecil-kecilan, dia bagi kat aku juga seratus dua.. Sebelum puasa baru ni, dia ada kerja dengan kawan dia secara part time, tapi tak dapat nak commit sebab susah nak keluar ambil anak sekolah.

Aku pun tak lah kisah sangat sebab aku redha. Aku tak nak dia berdosa, jadi aku redha untuk melepaskan hak nafkah aku. Dan aku tak nak jadi tak ikhlas, sebab mengungkit apa yang aku belanja, akan menghanguskan semua pahala sedekah aku pada keluarga aku..

Itu kisah aku dan suami aku seorang house husband. Doakan kami terus ikhlas. Sebab tu kunci redha Allah pada kami. Tahun depan dah dua dekad kami bersama sebagai suami isteri. InsyaAllah, aku jugak mendoakan kebahagiaan buat pembaca sekalian. Aameen– Rose (Bukan nama sebenar) via iiumc

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *